Friday, December 12, 2008

Ramlan: Anwar jelmaan syaitan...


Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang lantang mengkritik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini mensasarkan Anwar Ibrahim.

"Datuk Seri Anwar mesti bertanggungjawab terhadap apa yang Tan Sri Khalid lakukan dalam menindas dan menzalimi rakyat negeri Selangor," kata presidennya Ramlan Abu Bakar.

Awal minggu lalu, NGO itu mengancam "menyerang hendap" Khalid bagi menekan pemimpin itu menunaikan tuntutannya, antaranya kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dakwaan penyalahgunaan kuasa menteri besar menganjurkan Karnival Rakyat di Shah Alam hujung bulan lepas.

Ramlan enggan mendedahkan bilakah "perang" itu akan dilancarkan.

"Kalau dedahkan butirannya, bukan lagi (taktik) serang hendap, tetapi peperangan konvensional," katanya.

Ramlan malah turut mencabar kedua-dua pemimpin PKR itu tampil berdebat dengannya berhubung dakwaaan Reformis bahawa Selangor gagal membela nasib rakyat miskin.

"Saya bagi pihak Reformis mencabar Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid untuk berdebat dengan saya.

"Saya hanya perlu satu jam, setengah jam saja untuk menghuraikan masalah rakyat miskin yang terpinggir di negeri maju seperti ini (Selangor), yang dinamakan negeri kebajikan," kata presiden Reformis.

Sepuluh penyokongnya turut sama dalam sidang akhbar di gelanggang sepak takraw di perkarangan sebuah rumah pangsa kos rendah di Sentul Utama.

Ramlan berkata, debat itu diharapkan dapat menghasilkan rumusan bagi menyelesaikan masalah rakyat miskin di negeri itu.

Dia, yang juga anggota PKR, bagaimanapun tidak menetapkan tarikh kepada penasihat parti itu untuk berdebat.

"Terpulang pada beliau. Sebab beliau sibuk, (kami) berlaku adillah (memberikannya masa)," kata Ramlan penuh semangat menyebabkan kanak-kanak dan beberapa penduduk mulai mengerumuni sidang akhbar itu yang dihadiri lebih kurang 10 wartawan, termasuk televisyen.

Ditanya sama ada Anwar patut mengundurkan dirinya sebagai pemimpin PKR jika gagal membaiki masalah kelemahan Selangor seperti dakwaannya, Ramlan berkata:

"Soal letak jawatan bukan persoalannya. Kalau beliau ada maruah, beliau mesti ambil pertanggungjawaban ini."

Tindakan meletakkan jawatan bagi beliau merupakan "jalan yang akhir", tambahnya.

Kelihatan beremosi, dia mengungkit perihal Anwar yang memperjuangkan nasib rakyat miskin Baling pada 1974 tetapi "gagal membela mereka apabila menjadi timbalan perdana menteri".

Anwar dilabelkan oleh Ramlan sebagai "jelmaan syaitan, pendusta, penipu, hipokrit dan munafik".

Ramlan berkata dia pernah memaklumkan kepada tokoh utama PKR itu "supaya memperbaiki kepimpinan Abdul Khalid" tetapi Anwar gagal melakukannya dan masih "berdiam diri".

Ramlan berkata, cabaran debat itu dibuat kerana "kegagalan Pakatan Rakyat di Selangor memenuhi manifesto pilihanraya" yang dibuat Mac lalu.

Katanya, daripada dua muka manifesto Barisan Alternatif - yang dianggotai PKR dan PAS - ketika itu, hanya empat atau lima sahaja berjaya dipenuhi.

"Selagi manifesto yang terdapat dalam pilihanraya ke-12 tidak ditunaikan, maka perang ini akan berlanjutan sehingga tempoh yang ditetapkan – iaitu apabila manifesto itu semuanya tertunai.

Tidak cukup dengan kata-kata itu, wakil-wakil rakyat PKR di Selangor turut disindirnya sebagai "Yang Berlagak" dan "Yang Bongkak" sebagai ganti Yang Berhormat kerana gagal menyelesaikan masalah rakyat bawahan di negeri itu.

Dia bagaimanapun menyifatkan "kepimpinan PKR gagal".

"Bukan salah parti, tetapi kepimpinan. Parti hanya nama sahaja, (hanya) slogan," tambah Ramlan.

Ditanya sebab dia memilih menyalurkan desakannya melalui NGO itu dan bukannya melalui PKR yang mengetuai kerajaan Selangor, Ramlan berkata:

"Orang macam ini nak pujuk tak boleh, nak rayu tak boleh, nak bincang tak boleh. Cara macam ini, cara samseng. Macam ini, kita kena jadi bapa  samseng, baru dia boleh terima.

"Kalau cara proses-proses ini, undang-undang ini, macam (kes) PPR. Tujuh bulan ulang-alik tidak ada (kesan). Bila diugut, hendak pula dia (menteri besar) selesaikan masalah ini."

No comments: